Mereka yang pernah putus tunang (atau putus cinta) tentu sekali pernah menerima soalan seperti, “Kenapa boleh putus?”, “Siapa yang minta putus?” atau “Apa alasan yang dia bagi?” Namun, yang paling lazim adalah “Berapa lama dah kenal dengan dia?”
Betul tak?
Tidak dinafikan kita perlu mengenali seseorang sebelum menerimanya di dalam hidup, namun ia adalah mustahil untuk “betul-betul” mengenalinya. Beruntung kita kerana Umar Al-Khattab r.a. ada meninggalkan satu contoh tentang perihal “kenal” yang mungkin dapat kita jadikan panduan, InsyaAllah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Katsir di dalam Al-Irsyad bahwa di dalam suatu perbicaraan seorang lelaki telah tampil sebagai saksi bagi seseorang. Lelaki tersebut mendakwa beliau mengenali orang yang terlibat di dalam perbicaraan itu.
Umar Al-Khattab bertanya kepada lelaki tersebut, “apa yang engkau ketahui tentang dia?”
“Tentang keadilan dan kemuliaan,” jawab lelaki (yang ingin menjadi saksi) itu.
“Adakah dia jiran kamu, sehingga kamu mengetahui tentangnya baik di waktu siang atau pun malam?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia pernah bermuamalah (berniaga, bertansaksi) denganmu, sehingga dengan muamalah itu kamu mengetahui sejauh mana kewara’kannya (meninggalkan yang ragu-ragu) ?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia temanmu di dalam perjalanan sehingga engkau mengetahui kemuliaan akhlaknya?”, tanya Umar untuk kali ketiga.
“Tidak,” jawab lelaki itu lagi.
“Bererti engkau tidak mengenalinya.”, kata Umar. Lalu Umar menyuruh menampilkan saksi lain.
Mungkin anda pernah diajukan soalan , “kenapa masih belum berumahtangga lagi?” Jawapan yang lazim diberi adalah, “Tidak ada jodoh lagi..” Mungkin selepas ini anda akan mempunyai jawapan yang lebih sesuai ..
Jodoh, rezeki, ajal dan maut adalah takdir Allah s.w.t. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hadid ayat 22, “Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar mencerita bahwa seorang ulama sunni pernah berkata, “Jika Dia menghalangimu atas apa yang menjadi hakmu, beerti Dia telah menzalimimu; tetapi jika Dia menghalangi kerana sesuatu yang ada padaNya, maka sesungguhnya Dia memberikan rahmatNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya.”
Jodoh kita telah pun ditentukan oleh tuhan. Apabila tuhan menghalangi sesuatu dari seseorang kerana kehendakNya, sudah tentu halangan tersebut merupakan “sesuatu yang terbaik”, kerana tuhan Maha Mengetahui. Apabila tuhan telah memutuskan “sesuatu yang terbaik” kepada makhlukNya, bermakna tuhan sedang melimpahkan rahmatNya kepada makhluk itu.
Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, “kenapa masih belum berumahtangga lagi?”, jawapan yang sesuai adalah, “semua ini adalah rahmat Allah.”
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment